Wednesday, August 3, 2011

Tumbuhan beracun

KANDUNGAN

Pengenalan
Akar saga ( Abrus precatorius L. )
Buah Kecubong (  Datura metel  )
Jarak Minyak ( Ricinus communis L. )
Tembakau ( Nicotiana tabacum )
Kesimpulan

 

Pengenalan

Sejak merdeka, Malaysia mencapai kemajuan dengan kadar yang amat cepat. Dengan itu, banyak hutan tropika telah dieksploitasi dan diteroka untuk tujuan perbinaan tapak-tapak perindustrian dan tempat-tempat kediaman. Walau bagaimanapun hutan tropika di Malaysia masih kaya dan terkenal dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Sebilangan daripada tumbuhan berkenaan mempunyai nilai perubatan dan telah digunakan oleh nenek moyang kita. Namun begitu, ada juga sebahagian tumbuhan daripada hutan tropika adalah beracun. Jika menyalahgunakan tumbuhan beracun berkenaan, mungkin akan membawa kesan sampingan atau yang buruk kepada penggunanya.

Akar saga (Abrus precatorius L.)
Salah satu tumbuhan beracun adalah akar saga, saga betina, akar belimbing atau nama saintifiknya Abrus precatorius L. yang banyak terdapat di kawasan tropik dan tumbuh meliar di tanah berpasir. Akar saga merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar dan memanjat. Kulit batangnya berwarna gelap. Ia tumbuh melilit pada tumbuhan sokongan dan batangnya boleh menjalar sepanjang 6 meter. Kulit batangnya berwarna gelap. Manakala, bijinya yang berwarna menarik sering dijadikan barang perhiasan seperti anting-anting, rantai leher, gelang, tasbih dan barang permainan kanak-kanak. Dari segi nilai perubatan, akar saga digunakan untuk merawat radang mata dan menghalang kehamilan dalam perubatan tradisional. Namun disebahagian masyarakat di Afrika dan Madagascar menggunakannya sebagai racun. Dalam beberapa masyarakat lain pula, ia dilaporkan digunakan untuk mempercepatkan proses kelahiran, meransang keguguran dan menghalang kehamilan. Dalam biji tumbuhan ini mengandungi sejenis bahan toksik yang dinamakan abrin dan pernah dikaji untuk membangkitkan kesan immunotoksin dalam rawatan barah. Di beberapa kawasan di benua Amerika pula, infusi biji tumbuhan ini digunakan untuk merawat radang mata. Abrin dilaporkan berupaya meningkatkan peredaran cecair tempatan dan menyerap hasil inflamasi. Ini mungkin menjadikan inflamasi tidak terkawal dan menyebabkan penglihatan rosak keseluruhannya. Kemungkinan ini menjadikan infusi abrin ini tidak lagi digunakan sebagai agen terapeutik.

Abrin ialah sejenis fitotoksin atau toksalbumin yang didapati dalam biji tumbuhan. Sekiranya tertelan bijinya, kulit biji yang keras akan menjadi pelindung kepada risiko keracunan berbanding kalau dimakan atau dikunyah tanpa kulit. Sebagai toksalbumin, abrin dikatakan bertindak terhadap pembentukan protein dalam sel-sel di dinding usus. Kesan toksik yang akan nyata bergantung kepada kuantiti biji yang ditelan, mungkin beberapa hari atau beberapa jam selepas biji tumbuhan tersebut dimakan. Gejala keracunan termasuklah rengsa mulut, rasa loya, muntah-muntah, cirit-birit berdarah, lemah anggota badan, gerak nadi yang cepat dan berlaku sawan hingga menyebabkan kematian akibat kehilangan fungsi jantung. Walau bagaimanapun, pengambilannya dalam jumlah yang kecil secara berterusan dilaporkan dapat meningkatkan daya ketahanan seseorang itu terhadap bahan tersebut. Rawatan kes keracunan yang melibatkan biji saga ialah dengan menghalang penyerapan bahan tersebut ke dalam tubuh. Ini dilakukan dengan menggalakkan supaya pesakit muntah, mencuci perut dan menggantikan cecair  dan elektrolit badan yang hilang.


Buah Kecubong (Datura metel)
Selain itu, kecubong juga merupakan salah satu jenis tumbuhan beracun yang dapat dikesan. Kecubong, terung pengar, terung pungak atau nama saintifiknya Datura metel mempunyai lebih daripada lima belas spesis dan semuanya beracun. Tumbuhan ini boleh didapati di kawasan yang beriklim panas lembab di seluruh dunia. Selain daripada tumbuh meliar, ia juga ditanam sebagai bahan dalam perubatan tradisional. Ia merupakan sejenis tumbuhan yang mudah  tumbuh tanpa penjagaan yang rapi. Tumbuhan herba ini boleh menjangkau ketinggian hingga 6 kaki. Terdapat juga spesis yang boleh tumbuh melebihi ketinggian ini. Terdapat dua spesis utama iaitu spesis yang mempunyai daun, ranting serta batang berwarna yang hijau dan spesis yang mempunyai ranting dan batang terwarna unggu. Di Malaysia, tumbuhan ini boleh didapati hampir di seluruh negara. Tumbuhan ini mudah dikenali kerana mempunyai bunga besar yang berbentuk loceng atau trumpet. Buahnya berbentuk hampir bulat dan berduri pendek. Tumbuhan yang mempunyai batang berwarna unggu dengan bunga putih kekuningan dikenali sebagai kecubong hitam. Manakala sejenis lagi tumbuhan daripada  spesis ini yang mempunyai batang hijau dan keseluruhan bunganya berwarna putih dikenali sebagai kecubong putih.

Semua bahagian tumbuhan ini adalah beracun terutama daun dan bijinya. Ciri-ciri keracunan tersebut tidak akan hilang atau terhapus walaupun bahagian-bahagian tumbuhan itu dimasak atau dikeringkan. Hiosin dan hiosamin merupakan antara alkaloid yang banyak ditemui di dalam buah, daun, ranting dan akar spesis tumbuhan ini. Begitu juga dengan skopolamin. Biji tumbuhan ini merupakan sumber utama sebatian ini. Sejenis lagi alkaloid dalam  kumpulan alkaloid belladona iaitu atropin boleh juga didapati dalam tumbuhan ini walaupun jumlahnya adalah lebih kecil dari hiosin dan hiosamin. Kesemua sebatian-sebatian ini mempunyai  sifat anti-kolinergik dan sedikit kesan narkotik. Kesan toksiknya akan mula nyata beberapa minit hingga beberapa jam selepas tumbuhan tersebut dimakan. Ini banyak bergantung kepada kuantiti, bahagian dan cara pendedahan tersebut berlaku.

Gejala yang mula-mula kelihatan ialah rasa haus, kering mulut, pembesaran anak mata, kesukaran menelan dan rasa panas kulit badan. Keadaan ini mungkin diikuti dengan rasa mengantuk, pening kepala, gerak nadi yang lemah, kesukaran melihat, demam, merasa keliru, euforia dan hilang pertimbangan. Pendedahan kepada sebatian-sebatian ini dalam jumlah yang tidak dikawal boleh mendatangkan kesan yang merbahayakan. Pada kepekatan yang tinggi ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi, sawan, meracau, koma dan maut. Kebanyakan kematian disebabkan kegagalan pernafasan. Terdapat beberapa kes kematian yang dilaporkan  berlaku akibat pengambilan beberapa bahagian daripada tumbuhan ini secara berlebihan.

Jarak minyak (Ricinus communis L.)
Jarak minyak, jarak berumah, pokok jarak atau nama saintifiknya Ricinus communis biasanya tumbuh di kawasan terbiar secara liar. Tetapi ia juga ditanam sebagai pokok hiasan kerana berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Selain daripada itu, tumbuhan daripada keluarga Euphorbiaceae ini merupakan pokok kecil atau shruba yang boleh mencapai ketinggian hingga 15 kaki. Bahagian di bawah batang berwarna keputihan. Sebahagian dahan dan ranting mempunyai warna kemerahan. Walaupun tumbuhan ini kelihatan cantik tetapi apabila terdedah pada kadar biasa, sama ada dimakan ataupun disentuh, akan menyebabkan rasa rengsa pada kulit, rasa loya, cirit-birit, muntah-muntah dan beberapa kesan buruk terhadap organ-organ tubuh yang lain. Dengan sebab ini, tumbuhan ini telah dikategorikan sebagai beracun.

Keseluruhan pokok ini boleh memudaratkan. yang sensitif. Bahagian yang paling toksik ialah biji yang mengandungi sejenis fitotoksin (toksalbumin) ricin dan alkaloid ricinine. Toksalbumin ricin  dipercayai berupaya menghasilkan tindak balas antibodi dalam tubuh. Walaupun mekanisma tindak balas bahan toksik ini tidak dapat dikenalpasti secara khusus, ia dilaporkan berupaya menghalang sintesis protein dalam dinding perut. Gejala keracunan akibat pendedahan kepada bahan ini ialah rasa terbakar di mulut dan tekak, rasa loya, muntah, pemecahan sel darah merah dan kehilangan fungsi buah pinggang. Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa maut. Biji tumbuhan ini menjadi kurang toksik sekiranya ia ditelan tanpa dikunyah atau dibuang kulitnya terlebih dahulu. Ini adalah disebabkan kulitnya yang keras menjadi `pelindung' supaya bahan toksik tersebut tidak dapat menyerap ke dalam tubuh apabila dimakan. Kesan sampingan yang pernah dilaporkan (berikutan pengambilan dos minyak jarak yang berlebihan) ialah rasa mengantuk, rasa loya dan muntah-muntah, sakit perut yang kronik, kejang otot, cirit-birit yang teruk dan pengsan. Biji tumbuhan ini juga mengeluarkan sejenis minyak yang dikenali sebagai minyak jarak yang mempunyai ciri-ciri sebagai julap (purgatif). Maka minyak jarak digunakan untuk merawat sembelit dan juga digunakan sebelum sesuatu pembedahan yang melibatkan usus dilakukan. Dos minyak jarak yang digunakan sebagai julap berbeza bergantung kepada produk atau keluaran yang ada. Minyak jarak itu sendiri tidak merbahaya kerana toksin yang terdapat di dalam biji tersebut tidak larut dalam minyak. Tapak utama tindakan minyak jarak ialah di usus kecil. Oleh itu penggunaan yang berlarutan mungkin menyebabkan kehilangan air, garam-garam mineral dan pemakanan dalam tubuh.


Tembakau (Nicotiana tabacum)
Tumbuhan beracun yang akhir sekali dibincangkan adalah tembakau atau nama saintifiknya Nicotiana tabacum yang berasal dari kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini ditanam oleh kaum asli di sana yang menggunakan daunnya dalam pelbagai acara keugamaan mereka sama ada dengan cara menghisap ataupun mengunyahnya. Tumbuhan ini berbatang lembut, tidak berkayu dan mudah tumbuh di kawasan yang beriklim tropika, contohnya Malaysia. Terdapat beberapa spesies dalam genus ini, antaranya ialah Nicotiana attenuata,  Nicotiana glauca, Nicotiana longiflora, Nicotiana rustica dan Nicotiana trigophylla. Pada mulanya, sepesies Nicotiana tabacumdikenali sebagai ubat untuk membunuh parasit. Tetapi pada zaman sekarang, Nicotiana tabacum telah disalahgunakan menjadi bahan utama rokok dan cerut.

Nikotin merupakan bahan utama dalam tumbuhan ini dan pernah digunakan sebagai bahan pembunuh serengga. Nikotin dalam tembakau bertindak sebagai perangsang dan bertanggungjawap menyebabkan ketagihan. Nikotin dan bahan yang menyerupai nikotin adalah sebatian utama dalam spesies Nikotiana. Beberapa kes keracunan Nicotiana glauca telah dilaporkan, akibat daripada pengambilan daunnya yang berlebihan. Ada diantaranya yang membawa maut. Selain daripada mereka yang mengambil nikotin secara terus sama ada secara merokok ataupun mengunyah, mereka yang terlibat dalam pengambilan atau penuaian daun tembakau mungkin terdedah kepada bahaya nikotin ini. Mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti muntah-muntah, lemah badan dan rasa mengantuk. Ini disebabkan nikotin boleh diserap secara terus dan cepat melalui kulit sama ada dalam bentuk tulen atau daripada daun tembakau. Maka, tanda dan gejala pendedahan terhadap nikotin berlaku dengan cepat iaitu antara 15 minit hingga satu jam.

Selain daripada kulit, nikotin boleh diserap ke dalam tubuh dengan kadar yang lebihn cepat melalui rongga hidung. Selapas dihisap, nikotin dalam asap tembakau akan terus memasuki saluran darah melalui paru-paru. Nikotin yang dihisap diserap dengan kadar yang amat cepat berbanding dengan dikunyah. Nikotin akan bertindak terhadap sistem saraf di dalam saluran darah sehingga ia diuraikan oleh hati dan dikeluarkan melalui air kencing. Nikotin adalah bersifat larut dalam air dan lemak. Kesan nikotin terhadap seseorang bergantung kepada individu, dos dan jangka masa penggunaannya. Di peringkat awal keracunan nikotin, ia boleh menyebabkan rangsangan sementara yang diikuti oleh tremor dan sawan. Selain daripada itu otot-otot akan menjadi lemah dan koma boleh terjadi sekiranya seseorang terdedah kepada kepekatan nikotin yang tinggi. Kegagalan sistem pernafasan adalah punca utama kematian haiwan yang mengalami keracunan disebabkan oleh anabasin sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin.

Kesimpulan

Walaupun empat jenis tumbuhan yang dinyatakan di atas merupakan tumbuhan beracun, tetapi ia mempunyai nilai perubatan yang tertentu jika digunakan dengan dos dan cara yang betul. Memandangkan kesan toksik yang mungkin berlaku, adalah dinasihatkan supaya para pengguna mendapatkan nasihat yang sewajarnya daripada pakar sebelum menggunakannya.

Akar saga (Abrus precatorius L.)
Buah Kecubong (Datura metel)
                                                              
Jarak minyak (Ricinus communis L.)
Tembakau (nicotianatabacum)


Rujukan


1.      http://www.luckymojo.com/redbeans.html
2.      http://medweb.nus.edu.sg/PID/plants/fig1.html
3.      http://www.mobot.org/MOBOT/research/library/kohler/taxa.html
4.      http://www.ces.ncsu.edu/depts/hort/consumer/poison/Daturme.htm
5.      http://www.horticopia.com/plantlist/pl1358.htm
6.      http://www.anet-chi.com/~manytimes/album/daturadp.htm
7.      http://www.sci.sci.kun.nl/bgard/genera/datura.htm
8.      http://www.honeylocust.com/limon/26/
9.      http://www.tapir.org/weeds/weed/9.html
10. http://www.hort.purdue.edu/newcrop/duke_energy/Ricinus_communis.html
11. http://www.execpc.com/~goodscnt/data/fx1007451.html
12. http://www.bitoek.uni-bayreuth.de/Publikationen/000606/DE.html
13. http://nepenthes.lycaeum.org/Plants/Nicotiana/tabacum.html
14. http://www.biologists.com/JCS/108/03/jcs3119p.html
15. http://imsdd.meb.uni-bonn.de/giftzentrale/tabak.html
16. http://www.mpiz-koeln.mpg.de/~stueber/thome/band4/tafel_033_small.jpg

No comments:

Post a Comment