Sunday, July 31, 2011

Konsep Negara

KONSEP NEGARA 


Apa itu Negara?
Negara adalah satu kawasan yang mempunyai penduduk yang tetap dan berdaulat , sempadan yang diiktiraf dan diperintah oleh sebuah kerajaan.

Cara pembentukan sebuah Negara 
Cara pembentukan setiap negara di dunia ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Walau apapun sejarah pembentukannya, terdapat beberapa ciri yang harus di patuhi untuk diiktirafkan sebagai sebuah negara. Ciri-ciri ini adalah ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa. Ciri-ciri utama yang harus dimiliki untuk diik  tirafkan sebagai sebuah negara adalah mempunyai:
i. sempadan yang tetap dan diiktirafkan oleh masyarakat antarabangsa
ii. penduduk yang tetap
iii. kerajaan yang teratur dan memberi perkhidmatan awam
iv. kedaulatan iaitu negara diperintah sendiri di mana bebas dari naungan penjajah
v. hubungan diplomatik dengan negara-negara lain serta pengiktirafan
vi. Lambang negara antaranya seperti perlembagaan, agama rasmi, dan simbol
vii. kegiatan ekonomi yang terancang. Terlibat dalam ekonomi domestik dan antarabangsa
viii. kemudahan sosial seperti pendidikan

SISTEM KERAJAAN SESEBUAH NEGARA
Pembentukan sesebuah negara selalunya bukannya terdiri daripada satu kawasan pemerintahan tetapi terdiri daripada lebih dari satu kawasan pemerintahan (beberapa negeri bercantum untuk menjadi sebuah negara. Contohnya Malaysia adalah cantuman 14 buah negeri). Percantuman sebegini berlaku secara sukarela ataupun dicantumkan secara paksa oleh kuasa penjajah. Percantuman sebegini membawa pada dua kuasa pemerintahan iaitu pentadbiran kerajaan “pusat” dan juga kerajaan “negeri”. Kerajaan merujuk kepada institusi yang akan mentadbir dan mengurus hal-ehwal negaranya .Corak pembahagian kuasa kerajaan pusat dan negeri membawa pada jenis sistem kerajaan negara tersebut. Sistem–sistem kerajaan yang terdapat di dunia adalah:

i. Kerajaan Persekutuan
- negara dibentuk berasaskan gabungan kuasa politik beberapa negeri
- kuasa politik dibahagi di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
- berlaku perkongsian kuasa di antara kerajaan pusat dan negeri
- kerajaan pusat mempunyai autonomi terhadap beberapa perkara dan begitu juga dengan kerajaan negeri
- tiada berlaku penindasan kuasa oleh satu pihak terhadap pihak yang lain
- Contoh negara yang mengamalkan sistem ini adalah Malaysia, India, Amerika Syarikat dan Kanada

ii. Kerajaan Konfederasi
- negara juga dibentuk berasaskan gabungan kuasa politik beberapa negeri
- namun tidak berlaku perkongsian kuasa
- kuasa kerajaan sepenuhnya terletak pada kerajaan negeri
- kerajaan pusat hanya mempunyai kuasa terhad sahaja
- kerajaan ini tidak wujud lagi pada masa kini
-contoh: Konfederasi Jerman Utara 1867-71

iii. Kerajaan Kesatuan
- negara dibentuk berasaskan gabungan  kuasa politik beberapa negeri
- juga tidak berlaku perkongsian kuasa
- kerajaan pusat mempunyai segala kuasa kerajaan
- kerajaan negeri mempunyai kuasa yang terhad
- kerajaan pusat berkuasa membatalkan undang-undang yang diluluskan di peringkat negeri
- Contoh: Denmark ,Britain,Sweden, New Zealand, Perancis dan Norway.

BENTUK NEGARA
Selain dari sistem kerajaan , bentuk sesebuah negara juga dibezakan mengikut ketua negara tersebut. Setiap negara diasaskan mengikut salah satu daripada jenis kerajaan seperti yang dijelaskan di atas iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan kesatuan ataupun kerajaan konfederasi. Selain dari iti, setiap negara juga mempunyai seorang ketua di mana beliau memegang jawatan sebagai ketua negara. Ketua negara boleh dianggap sebagai simbol kedaulatan negara tersebut. Dalam dunia terdapat dua jenis ketua negara iaitu:

a. Raja atau Ratu – Negara yang mempunyai seorang raja atau ratu sebagai ketua maka ianya dikenali sebagai Negara Beraja. Negara-negara beraja boleh dibahagikan lagi kepada dua iaitu:
                       i. Raja Mutlak
                       ii. Raja Berperlembagaan

b. Presiden – Negara-negara yang tidak mempunyai raja akan diketuai oleh seorang presiden. Negara yang diketuai oleh seorang presiden dikenali sebagai Negara Republik. China adalah sebuah negara republik kerana diketuai oleh seorang presiden manakala Malaysia pula adalah sebuah negara Raja Berperlembagaan kerana diketuai oleh seorang raja (Yang Dipertuan Agong).

IDEOLOGI KERAJAAN SESEBUAH NEGARA
Setiap Negara yang dibentuk harus juga mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh. Ini juga merupakan suatu ciri utama sebuah Negara. Sebuah kerajaan yang baru dibentuk boleh memilih ideologi kerajaan mereka. Di antara ideologi kerajaan yang terdapat di dunia adalah :-

a. Demokrasi
- rakyat mempunyai suara mutlak ( melalui pilihanraya)
- konsep “kerajaan untuk rakyat dan oleh rakyat
- kebebasan persamaan dan hak-hak
- sistem pilihanraya
- kemenangan berasaskan jumlah undi yang terbanyak bagi individu atau parti politik
- utamakan kebebasan,persamaan dan hak-hak rakyat
- mula diamalkan oleh orang-orang Yahudi di Athens

b. Komunisme
- diperkenalkan oleh Karl Marz, Lenin Stallin dan Mao Ts Tung
- melaungkan slogan “sama rata, sama rasa’
- faktor pengeluaran dan milik rakyat dihakmilikan oleh negara
- Kini hanya diamalkan dengan sepenuhnya di Cuba

c. Fasisme
- diperkenalkan oleh Mussoli dari Itali
- kuasa mutlak di tangan pemimpin negara
- raykat diwajibkan untuk berkorban untuk pemimpin

d. Nazisme
- diperkenalkan oleh Adolf Hitler di Jerman
- menghalalkan kekejaman

e. Sosialisme
- negara mengamalkan dasar tutup pintu
- matlamat asas untuk menghakmilikan semua kekayaan menjadi hak negara

f. Autokratik
- mempunyai persaingan politik yang terhad
- pemimpin-pemimpin menekankan kepada nasionalisme
- biasanya menggunakan paksaan, kekerasan dan ugutan untuk memperoleh kepatuhan dan kesetiaan rakyat
- kebebasan media dan kehakiman dikawal rapi

Kebanyakan negara di dunia menggunakan sistem kerajaan berideologi demokrasi.
Ideologi komunisme terkenal pada satu masa dulu namun dengan robohnya blok Soviet Union maka kemasyhuran komunisme mula berkurangan dan kebanyakan negara yang pada satu masa dulu mengamalkan ideologi komunisme kini mengamalkan ideologi demokrasi.

Badan Kehakiman

Badan Kehakiman

SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA

Sistem pemerintahan negara mempunyai tiga badan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman

LATAR BELAKANG KEHAKIMAN MALAYSIA

- Perlembagaan menentukan doktrin pengasingan kuasa antara ketiga-tiga badan ini.
- Perlembagaan menentukan bidang kuasa kehakiman dan mahkamah.
- Badan Kehakiman mengimbangkan kuasa antara badan Perundangan dan badan Eksekutif
- Kehakiman bebas daripada kawalan badan-badan perundangan dan eksekutif serta
   politik semasa  menjalankan tugasnya.
- Ketua Hakim Negara adalah ketua dalam badan ini yang mengetuai semua hakim.
- Teradapat dua kumpulan mahkamah dalam sistem kita iaitu Mahkamah-mahkamah
   Awam dan  Mahkamah- mahkamah khas
- Mahkamah Awam membicara kes-kes untuk orang awam tanpa kira pangkat, umur,
   jawatan atau  pekerjaan. Hukuman adalah sama untuk semua.
- Mahkamah-mahkamah Khas pula membincarakan kes mengikut fungsi tertentu.
  Contohnya Mahkamah Syariah hanya membicarakan kes-kes yang berkaiatan
  dengan agama Islam dan hanya membicarakan orang-orang yang beragama Islam sahaja.

PENTADBIRAN MAHKAMAH
- Ketua Pentadbir mahkamah-mahkamah adalah Ketua Pendaftar. Pejabat ketua pendaftar
   mengendalikan perkara-perkara keadilan dan pentadbiran di Mahkamah.
- Ketua pendaftar dibantu oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan, Pendaftar Mahkamah
    Tinggi Malaya dan Pendaftar mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
- Pejabat pendaftar adalah dibawah kawalan Jabatan Perdana Menteri
- Ketua pendaftar mentadbir mahkamah di bawahnya
- Setiap jenis mahkamah mempunyai ketua pendaftarnya sendiri
- Ketua pendaftar setiap mahkamah bertanggungjawab terus kepada
    Ketua Hakim Negara dan beliau dibantu oleh timbalan-timbalan,
    pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai pentadbir dan pegawai-pegawai lain  
    di mahkamah.

FUNGSI-FUNGSI KEHAKIMAN

 Badan kehakiman bertanggungjawab untuk:
i. mentadbir keadilan kes sivil dan jenayah secara saksama
ii. melindungi hak-hak asasi rakyat daripada sebarang pencabulan oleh pihak
   individu atau kerajaan.
iii. mentafsirkan undang-undang
iv. badan kehakiman juga berkuasa untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan.
v. pihak mahkamah boleh mengistiharkan sesuatu undang-undang atau
    tindakan badan perundangan atau eksektif tidak sah.
vi. badan kehakimana juga mempunyai kuasa untuk membatalkan
    undang-undang yang bercanggahan dengan Perlembagaan setakat mana
    yang bercanggah.
vii. boleh membicarakan kesalahan yang berlaku di atas kapal terbang atau laut
    yang didaftarkan di Malaysia.
viii. menyelesaikan pertikaian antara individu dengan individu dan antara individu
    dengan pihak kerajaan

Thursday, July 28, 2011

Kerjaya: Peluang kerjaya luas dalam bidang komunikasi

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
2011/07/14

PENERBITAN Halal Journal diterbitkan dua bulan sekali dan boleh diakses
secara online menerusi Halal Online.
PENERBITAN Halal Journal diterbitkan dua bulan sekali dan boleh diakses secara online menerusi Halal Online.
KEPELBAGAIAN medium komunikasi ketika ini menyediakan banyak peluang bagi pengamal bidang itu mencipta dan memanfaatkan peluang sama ada dalam bidang percetakan atau elektronik. 

Selain menceburi sektor pengiklanan, perhubungan awam mahupun menjadi wartawan, ramai juga lulusan bidang komunikasi bijak meneroka pelbagai cabang perniagaan berkaitan.
Contohnya, Pengasas dan Pengarah Urusan KasehDia Sdn Bhd, Jumaatun Azmi, yang memanfaatkan pelbagai media untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu halal kepada umum yang pada masa sama menjadi sumber pendapatan baginya.


Kejayaan lulusan Ijazah Komunikasi Universiti Hartford, Amerika Syarikat itu dalam perniagaan berasaskan bidang komunikasi bermula dengan penerbitan siri Halal Guide pada 2003 yang mengandungi ulasan restoran berstatus halal di beberapa negara dan bandar utama dunia termasuk Australia, Kuala Lumpur, Singapura, London, Dubai, New Zealand serta Kanada. 

“Idea menghasilkan siri Halal Guide ini tercetus apabila saya sendiri melalui pengalaman sukar mencari restoran makanan halal ketika bercuti di Australia dan mendapati tiada sebarang bahan bacaan atau panduan mengenai keperluan asas itu dijual di kedai buku. 

“Sebaik kembali ke tanah air, saya mengusahakan penerbitan buku panduan itu bagi Australia, Kuala Lumpur, Singapura dan London. Apabila dipasarkan, ia mendapat publisiti Wall Street Journal sekali gus memudahkan usaha saya mendapatkan dana tambahan bagi menerbitkan lebih banyak siri panduan asas berkenaan termasuk Halal Food & Travel: Australia,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman pada Forum Kerjaya Ketua Pegawai Eksekutif Muda Malaysia sempena Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran di Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya, baru-baru ini. 
Momentum kejayaan penerbitan siri Halal Guide itu berterusan dengan penerbitan Halal Journal iaitu majalah berkaitan isu dan industri halal yang diterbitkan dua bulan sekali pada 2004 yang turut boleh diakses secara dalam talian menerusi Halal Online. 

Kejayaan penerbitan siri panduan dan majalah halal itu menyuntik keyakinan Jumaatun untuk menganjurkan forum halal terbesar, World Halal Forum bermula 2006 yang mencatat rekod penyertaan lebih 900 delegasi daripada 50 negara. 

Menyedari budaya membaca yang semakin kurang menjadi kecenderungan masyarakat negara ini, beliau mewujudkan pula bahagian filem, radio dan televisyen bagi menyalurkan maklumat halal kepada umum. 

Selain bekerjasama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia bagi menyiarkan siaran Halal Journal Radio, maklumat sama disalurkan menerusi rancangan Halal Journal di TV3 dan NTV7. 

“Sesuai misi syarikat ingin menyalurkan nilai baik menerusi idea komunikasi sejagat, saya cuba memanfaatkan sebanyak mungkin medium komunikasi bagi memastikan maklumat berkaitan isu halal dapat dicerna segenap lapisan masyarakat. 

“Selain memanfaatkan kepakaran bidang komunikasi, kerjasama dijalin dengan pelbagai media cetak dan penyiaran untuk memudahkan usaha murni itu. Pendekatan saya mudah saja, jika kita mempunyai keinginan untuk mengetahui mengenai sesuatu isu, bermakna ada pihak lain yang turut berminat mengetahuinya dan itu disifatkan sebagai peluang perniagaan, sekali gus dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya. 

Kelebihan menguasai bahasa asing

fadzlena@bharian.com.my
2011/05/12

ISU graduan gagal menyerlah ketika sesi temu duga berikutan kurang mahir menguasai Bahasa Inggeris (BI) kembali diperkatakan sehingga timbul kontroversi di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai isu berkaitan, baru-baru ini. 

Persoalan yang sering diperkatakan, perlukah mahasiswa menguasai bahasa berkenaan? Ada yang mengatakan mengapa perlu masyarakat kita mengutamakan bahasa penjajah itu jika diambil kira kejayaan Jepun sebagai kuasa ekonomi Asia yang rata-rata rakyatnya tidak fasih atau kurang memahami BI.
Namun, ramai juga yang beranggapan, rakyat di negara ini khususnya mahasiswa yang menjadi harapan untuk mewarisi kepimpinan negara satu hari kelak, wajar menguasai bahasa yang dianggap bahasa antarabangsa itu. Kekurangan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu antara sebab mengapa BI harus dikuasai memandangkan kebanyakan bahan rujukan ilmiah hanya boleh didapati dalam bahasa berkenaan.


Berbeza Jepun yang berikrar bakal menjadi kuasa dunia sejurus kekalahannya pada Perang Dunia Kedua dulu, memanfaatkan sebaiknya perpindahan teknologi pada era itu dan hasilnya, hari ini kebanyakan bahan rujukan ilmiah boleh didapati dalam bahasa Negara Matahari Terbit yang digunakan di kebanyakan IPT di negara itu. 

Kini, kita lihat Jepun benar-benar menjadi kuasa dunia apabila menguasai sektor ekonomi selain mempunyai teknologi canggih yang menjadi rujukan di seluruh dunia. Bagaimana mereka lakukan? Selepas peperangan, Jepun dikatakan menghantar ramai pelajar ke luar negara bagi mengikuti pengajian di beberapa IPT terkemuka di Barat dan kemudian membawa balik ilmu yang diperoleh untuk kegunaan negara. 

Hasil perpindahan teknologi itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi penekanan kepada inovasi dan penyelidikan. Hari ini, Jepun muncul sebagai antara negara yang bukan saja peneraju dalam inovasi, bahkan mempunyai bahan rujukan secukupnya untuk kegunaan generasi baru. 

Malaysia juga sedang berusaha ke arah itu, terutama apabila kita lihat tahun lalu diumumkan sebagai Tahun Inovasi dan Kreatif yang diharap dapat meningkatkan penghayatan dalam budaya inovasi dan penyelidikan. 
Namun, tidak salah jika kita mempelajari lebih daripada satu bahasa, sama ada bahasa Inggeris, Cina mahupun Arab kerana seseorang yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa akan mempunyai kelebihan. 

Hari ini, kerja seperti penterjemah, penulis dan pemandu pelancong yang memerlukan penguasaan dalam bahasa asing khususnya BI sudah menjadi kerjaya yang mampu memberikan pendapatan lumayan. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak. 

VARSITI mengalu-alukan pandangan ahli akademik mengenai pelbagai isu menerusi Minda Intelek.Hantarkan pandangan ke bhvarsiti@bharian.com.my 

Kepentingan Penguasaan Pelbagai Bahasa

Bahasa menjadi alat komunikasi antara manusia sejak dahulu lagi. Lantas terbitlah cogan kata seperti "Bahasa Menunjukkang Bangsa" yang bermaksud bahasa yang ditutur menunjukkan asal bangsanya itu sendiri. Namun congan kata ini sekarang tidak lagi benar kerana terdapat individu yang dapat menguasai beberapa bahasa asing.

Kebolehannya untuk menguasai beberapa bahasa menjadi suatu kelebihan yang tidak begitu disedari ramai. Umumnya, pandangan seseorang yang dapat menguasai bahasa lain lebih luas berbanding individu yang bertutur dalam satu bahasa sahaja.

Dengan penguasaan dalam beberapa bahasa, seseorang itu dapat mempelajari ilmu dalam pelbagai bidang. Menyedari hakikat itu, pihak kerajaan senantiasa menggalakkan pelajar di universiti khususnya mempelajari bahasa-bahasa asing.

Sesetengah pekerjaan seperti jurubahasa dan pemandu pelancong memerlukan pengetahuan dalam banyak bahasa. Tanpa kelebihan seperti ini, adalah sukar untuk menjalankan tugas mahupun bekerja dengan sempurna.

Seseorang yang dapat bertutur dalam beberapa bahasa asing berasa lebih yakin untuk bertutur. Apabila menghadiri majlis yang terdiri daripada pelbagai bangsa, sudah pasti dapat berinteraksi tanpa menghadapi masalah.

Jelaslah bahawa kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa ini amatlah penting, terutamanya apabila menghadapi pelbagai cabaran pada zaman kemajuan ini demi kepentingan diri, bangsa dan negara.

Kepentingan Bahasa Mandarin


AGENDA BAHASA
Kepentingan Bahasa Mandarin

Oleh: MOK SOON SIM *
 soonsimmok@hotmail.com
Sejak China mengamalkan dasar buka pintu dan melaksanakan reformasi ekonomi, negara tersebut telah mengalami perkembangan ekonomi yang menakjubkan. China kini muncul sebagai kuasa ekonomi keempat terbesar di dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China telah mencapai RM48 trilion ataupun 13 peratus daripada KDNK dunia. Sejajar dengan hal itu, pada akhir abad ke-20, keghairahan mempelajari bahasa Mandarin di seluruh dunia mula bertambah dan berterusan sehingga kini.
    Hari ini, bahasa Mandarin bukan sahaja merupakan bahasa yang dipelajari oleh kaum Cina, tetapi bahasa Mandarin menjadi bahasa asing utama yang mendapat sambutan dalam kalangan kaum-kaum lain di seluruh dunia. Selain daripada Benua Besar China, Hong Kong dan Taiwan, terdapat semakin banyak negara dan bangsa yang menggunakan bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama di peringkat tadika,  sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada masa ini, terdapat hampir 100 juta orang di seluruh dunia yang mempelajari bahasa Mandarin setiap hari.
   Pemimpin-pemimpin di Malaysia yang berpandangan jauh menyarankan dan menggalakkan rakyat di negara ini agar mempelajari bahasa Mandarin yang kian popular di mata dunia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan bahawa bahasa Mandarin bukan lagi merupakan bahasa satu kaum sahaja, tetapi bahasa Mandarin merupakan bahasa satu bangsa serta negara yang maju dan mempunyai kekuatan ekonomi. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga menyeru kaum Melayu agar mempelajari bahasa Mandarin. Beliau menegaskan penguasaan bahasa dan pemahaman kebudayaan antara rakyat kedua-dua negara akan mengeratkan hubungan dua hala Malaysia dengan Negara China.
   Berdasarkan sejarah, pembelajaran bahasa kaum lain dalam kalangan masyarakat Malaysia telah lama wujud.  Kaum Cina, kaum India dan kaum-kaum lain mempelajari bahasa Melayu, dan begitu juga sebaliknya. Pada akhir sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat kecenderungan ibu bapa kaum bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina SRJKC). Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, pada bulan Disember 2001, sebanyak 60 000 orang pelajar bukan Cina yang menuntut di SRJKC. Bilangan pelajar bukan Cina yang menuntut di SRJKC kian meningkat hingga ke hari ini.
  Pada peringkat pengajian tinggi pula, antara kesemua institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bahasa Mandarin kepada penutur bukan asli di Malaysia, ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM). UiTM merupakan institusi pengajian tinggi yang mempunyai paling ramai pelajar bumiputera yang mempelajari bahasa Mandarin. UiTM mula menawarkan kursus bahasa Mandarin sebagai kursus elektif kepada pelajar semenjak tahun 1968. Pada tahun 1999, bahasa Mandarin ditawarkan sebagai salah satu kursus bahasa pilihan yang merupakan  keperluan universiti. Semenjak itu, bilangan pelajar UiTM yang mempelajari bahasa Mandarin semakin bertambah. Kini terdapat lebih kurang 10,000 orang pelajar bumiputera yang mengikuti kursus bahasa Mandarin di semua kampus UiTM di seluruh Malaysia.
  Jumlah yang besar ini menunjukkan semakin ramai kaum bukan Cina menerima pembelajaran bahasa Mandarin sama ada di sekolah rendah ataupun di institusi pengajian tinggi. Hal ini membuktikan bahawa  semakin banyak masyarakat Malaysia yang mula sedar akan keperluan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Kesedaran ini sejajar dengan dasar kerajaan yang
menawarkan kelas bahasa tambahan termasuk kelas bahasa Mandarin, bahasa Arab dan bahasa Tamil di sekolah rendah kebangsaan serta mendirikan Sekolah Wawasan.
  Apakah kelebihan  menguasai bahasa Mandarin? Bagi kaum bukan Cina, menguasai bahasa Mandarin sama seperti menguasai bahasa Inggeris ataupun bahasa-bahasa lain. Menguasai bahasa asing tidak akan melenyapkan ciri-ciri kaum yang asal, sebaliknya menguasai aneka bahasa dapat menambahkan kebolehan seseorang itu untuk berkomunikasi dengan bangsa lain. Hal ini secara tidak langsung mempertingkatkan daya saing seseorang individu untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit dalam era globalisasi kini... 
* Mok Soon Sim, pensyarah di Unit Bahasa Mandarin, Akademi Pengajian 
   Bahasa, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah  Dewan Bahasa Januari 2008 

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (DPN)

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (DPN)

Latarbelakang
Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya.
DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. 
  
Objektif
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

Strategi Pelaksanaan
DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:
(i)  Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama; 
  
(ii)  Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan; 
  

(iii)  Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia; 
  

(iv)  Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar; 
  

(v)  Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara; 
    
(vi)  Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat; 
  

(vii)  Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan 
  

(viii)  Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.

DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:
(i) Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian  kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin);

(ii) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat  Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi;

(iii) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan  
  diri dalam proses penyusunan semula masyarakat; dan

(iv) Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia 
termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
Program Pelaksanaan
Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:
(i) Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan 
Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan;

(ii) Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa 
DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;

(iii) Wawasan 2020 
Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan

(iv) Pembasmian Kemiskinan 
Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam  melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar. Dengan itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial.

Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.
Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut: 
- pendidikan dan 
- latihan 
- kesihatan 
- jalan-jalan luar bandar 
- pengangkutan 
- perumahan 
- bekalan air dan elektrik 
 
Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.

Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

(v) Penyusunan Semula Masyarakat 
Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan. 

DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.

Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN. 
Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Penutup
Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

Tuesday, July 5, 2011

Penapisan Maklumat Siber yang sukar

Kini, kebanyakan kerajaan moden turut melaksanakan dasar mengawal dan menapis segala maklumat yang boleh dianggap boleh mendatangkan kesan buruk. Lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba canggih ini, muncul pelbagai perantaraan yang boleh menjadi ajen baru penyebaran maklumat. Antara yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu penyebaran maklumat melalui dunia siber atau internet. Walaupun kebanyakan kerajaan telah pun mempunyai dasar untuk mengawal maklumat yang boleh merugikan, namun kawalan maklumat dalam dunia siber masih sukar untuk dilaksanakan.

Oleh sebab itu, penapisan terhadap internet bukanlah suatu yang mudah memandangkan pertumbuhan bilangan pengguna yang menyertai industri ini setiap hari.  Penggunaan internet yang pada mulanya hanyalah untuk strategi ketenteraan, kini telah berkembang sebagai satu rangkaian yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan dan telah dihubungkan dengan lebih tiga juta buah komputer di seluruh dunia. Jika penggunaan internet masa dahulu adalah terhad dan serius, namun kini berlaku sebaliknya kerana internet boleh disifatkan sebagai satu hiburan baru.

Walaupun komunikasi seumpama ini kini fenomena yang biasa, tetapi disebabkan ketiadaan lokasi fizikal menyukarkan pihak berkuasa menjalankan dakwaan terhadap pencabulan yang berlaku. Selain itu, identiti seseorang seperti nama, usia, jantina juga sukar dikesan kerana ‘ketiadaan nama’ dalam penggunaan internet. Sedangkan penyebaran bahan-bahan lucah atau bahan-bahan yang diharamkan dalam perbualan, ataupun bahan-bahan yang sensitif sehingga boleh menimbulkan suasana tidak tenteram sangat mudah dilakukan melalui medium ini.

Selain itu, internet juga tidak mempunyai badan-badan penapis yang rasmi, tiada lembaga pengarah, tidak dimiliki oleh ekuiti tertentu. Medium ini terbuka luas untuk diterokai oleh sesiapa sahaja. Dalam hal ini penapis utamanya adalah hati nurani pengguna itu sendiri.

Memandangkan internet tidak mempunyai “autoriti pusat” sebab itu sukar untuk merealisasikan usaha penapisan internet. Dalam perspektif yang lain pula, internet kononnya memberi potensi kepada “demokrasi sebenar”.

Kebebasan bersuara di rangkaian internet juga bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa. Negara China sebagai contohnya, cuba mengawal setiap ekspresi politik atas sebab keselamatan negara dan ketenteraman sosio masyarakat. Setiap pengguna lebuh raya internet dan e-mel mesti mendaftarkan diri kepada pihak berkuasa agar pihak berkuasa dapat mengawas aktiviti-aktiviti para pengguna internet. Manakala di United Kingdom pula, artikel-artikel sensasi mengenai rahsia kerajaan atau serangan peribadi adalah antara batasan dan isu sensasi untuk dibincangkan, diterbitkan, dan dipaparkan.
Nampaknya pihak-pihak berkuasa di dunia berusaha menguatkuasakan penapisan terhadap penggunaan internet ini. Bagaimanapun pihak-pihak berkuasa nyata menghadapi pelbagai masalah dan rintangan yang kompleks terutama untuk menyemak bahan dalam sistem yang luas tanpa sempadan itu. Adalah hampir mustahil bagi pihak berkuasa menyemak setiap surat elektronik yang dihantar atau diterima, meneliti setiap artikel yang disediakan oleh setiap Newsgroups, mengklasifikasikan setiap webpages, dan berborak dalam setiap rangkaian IRC, kemudiannya melawat setiap tapak Gopher, ataupun mengawal setiap program FPT. Selain menelan belanja yang banyak, pekerjaan ini dianggap membuang masa.
Walaupun usaha-usaha telah diambil untuk menapis medium ini, tetapi nampaknya usaha tersebut masih menemui jalan buntu apabila tiada undang-undang berkaitan yang boleh mendakwa pihak yang menyalahgunakan medium ini. Tambahan pula, undang-undang komunikasi antara satu negara dengan negara adalah berbeza. Di samping itu undang-undang sesebuah negara tidak dapat diaplikasikan di negara lain kerana masing-masing mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati. Oleh sebab itu, internet dianggap sebagai salah satu media penyebaran baru yang unik, dan berkesan walaupun kedudukannya sebagai media masih dalam perdebatan.

Internet adalah rangkaian antarabangsa. Justeru, seseorang dengan mudah boleh menyalin dokumen-dokumen, gambar-gambar lucah dari negara lain walaupun gambar yang disalin itu diharamkan di negara mereka. Dalam situasi begini timbul perdebatan di manakah pendakwaan akan dilakukan. Di negara asal artikel atau gambar lucah tersebut atau di tempat gambar atau artikel tersebut disalin dan diterima?

Bahan-bahan yang menyakitkan mata ini bagaikan zarah-zarah yang melantun di dunia galaksi siber. Namun tiada siapa yang tahu ke mana zarah –zarah tersebut akan bergerak. Oleh yang demikian, tanpa satu badan penapis dan penguatkuasa pusat, maklumat-maklumat seperti itu akan terus bergerak lancar tanpa halangan untuk mencari mangsa dalam lebuh raya siber.

Seperti yang disebut sebelum ini, internet adalah satu alam nyata yang penuh misteri. Adalah sukar untuk mengidentifikasikan umur, jantina, raut rupa, ketinggian, berat badan, dan lain-lain bentuk fizikal penggunanya. Jadi sukar untuk mengesan bahawa seseorang itu telah melawat tapak haram, atau menyalahgunakan hak menyelongkar sesuatu maklumat. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang memalsukan identiti tapak lucah di internet walaupun telah diberi amaran.

Ancaman terhadap pengguna teknologi maklumat

Antara ancaman yang dihadapi oleh pengguna teknologi maklumat ialah fenomena penggodam komputer atau 'hackers'. Penggodam komputer ditakrifkan sebagai orang yang boleh mendatangkan ancaman kepada komputer dan sistem rangkaian. Mereka cuba menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan mereka. Namun terdapat juga golongan penggodam komputer yang hanya menjalankan aktiviti pencerobohan maklumat peribadi atau serangan virus sebagai salah satu keseronokan dan hobi semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk yang dihadapi kelak. Mereka suka menceroboh sistem rangkaian komputer, mencuri maklumat atau data penting dan menghantar kod jahat atau virus bagi mengganggu sistem rangkaian komputer lain seterusnya menyebabkan kerosakan teruk.

Sesetengah penggodam komputer menceroboh sistem rangkaian komputer untuk meniru atau mencuri data. Ini terbukti kerana menurut satu laporan, terdapat seorang pelajar kolej di Texas telah dikenakan undang-undang setelah terlibat dalam aktiviti menggodam dengan menceroboh sistem komputer Texas untuk mencuri maklumat peribadi pelajar, fakulti dan kakitangan dari universiti berkenaan. Oleh itu benarlah teknologi maklumat internet menghadapi ancaman daripada pihak penggodam.

Selain itu, kelebihan teknologi maklumat kini juga telah diperalatkan dengan mudah oleh pengganas dan juga kartel dadah. Mereka telah menyalahgunakan kelebihan teknologi maklumat untuk menjalankan kegiatan gelap. Seperti yang kita ketahui, zaman maklumat semakin menghapuskan zaman perindustrian dan zaman pertanian manakala globalisasi pula menerobos ke setiap pelosok dunia, sedangkan sistem penapisan dan perlindungan keselamatan masih lumpuh sama sekali. Ini terbukti apabila seseorang pembekal dadah menggunakan sistem rangkaian internet untuk berurusan dengan pengedar dadah lain untuk mengadakan pertemuan melalui kod-kod rahsia. Jadi, keadaan ini sudah tentu tidak dapat dihalang oleh pihak berkuasa kerana mereka tidak dapat mengenalpasti tempat perjumpaan tersebut secara tepat.  Justeru, keselamatan zaman maklumat masih lagi diragui lantaran wujudnya aktiviti-aktiviti tanpa sempadan ini yang boleh menggugat sistem keselamatan.

Di samping itu, teknologi maklumat kini telah dieksploit dengan begitu rakus bagi mencapai pelbagai tujuan. Teknologi ini telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai jenayah tradisional seperti memeras ugut, menipu, menyebarkan bahan lucah dan juga mencuri nombor kad kredit. Ini amat menyedihkan kerana teknologi maklunat yang dibangunkan bersama arus kemodenan boleh menggugat keselamatan para pengguna. Sebenarnya masyarakat kita semakin bergantung kepada komputer dan sistem rangkaian sebagaimana kita bergantung kepada keperluan asas iaitu bekalan air dan elektrik. Oleh yang demikian, semua pengguna hendaklah mempunyai kesedaran dan kefahaman yang mendalam tentang isu keselamatan dan keperluan untuk membangunkan perlindungan keselamatan. Maka terbukti bahawa ancaman teknologi maklumat ialah pengeksploitasian daripada pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

         Seterusnya teknologi maklumat juga terdedah kepada ancaman virus. Virus sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud racun. Bersesuaian dengan maksudnya, virus telah dicipta untuk melindungi fail-fail daripada dicerobohi. Namun kini virus telah disalahgunakan dengan tujuan untuk mengganggu sistem rangkaian komputer dan meniru hak ciptaan orang lain. Selain itu, virus juga dicipta untuk mengelakkan penjiplakan. Apabila virus menyerang komputer, kita dapat melihat saiz sesebuah fail itu bertambah besar, berlaku perubahan tarikh walaupun fail itu tidak digunakan dan komputer menjadi lambat beroperasi. Disket juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah cepat rosak atau tidak dapat dibaca langsung. Pengaturcaraan komputer juga tidak dapat berfungsi seperti biasa. Masalah ini sememangnya memberikan kesan buruk kepada para pengguna. Sebenarnya virus boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara jangkitan dan cara merosakkan sistem fail dalam sesebuah komputer. Virus jenis ‘Logic Bomb’ ini dipercayai mungkin berupa tarikh virus itu diaktifkan. Oleh itu terbuktilah bahawa teknologi maklumat juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman virus.

Pengaruh negatif kepada remaja

Menyebut tentang genarasi muda, kita boleh kategorikannya sebagia belia, pelajar, dan remaja atau mengukur dari segi umur iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah paling tepat untuk menggambarkan keseluruhan generasi muda. Merekalah harapan negara, penuh dengan cita-cita, keazaman, kecergasan, serta ketajaman minda dalam mengendalikan sesuatu isu.

Rangkaian internet nampaknya begitu kompleks sekali untuk difahami kerana memiliki komponen-komponen mikro yang tidak biasa. World Wide Web (WWW) merupakan komponen yang paling mudah diidentifikasikan. Isi kandungan dalam muka surat Web ini senang didapati oleh peneroka kerana direka cipta khas dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Basic (Basic Programme Language).

 Selain itu, cara mudah untuk mengenal pasti internet ialah melalui seksyen surat elektronik (E-mel), iaitu satu wadah komunikasi yang membolehkan dua pihak berkomunikasi. Selain itu, internet juga menyediakan seksyen yang menarik iaitu borak melalui internet, IRC (Internet Relay Chat), yang membolehkan beribu-ribu pengguna internet sedunia berborak, berbincang, dan bertukar idea pada masa yang sama. Atau Gopher yang fungsinya menyerupai fungsi WWW, tetapi rangkaian ini lebih tertumpu kepada bahan-bahan akademik, dan protokol Penukaran yang membolehkan dokumen-dokumen dihantar dari sebuah komputer ke komputer yang lain.

 Ini menyebabkan masalah pelayaran laman web yang berunsur pornografi semakin serius di kalangan remeja. Gambar-gambar pornografi di internet senang dicari dan tanpa pengetahuan orang lain. Dengan hanya klik tetikus sahaja mereka boleh mendapat sumber pornografi yang banyak. Hal ini menyebabkan mereka semakin ketagihan terhadap pencarian gambar pornografi di internet seterusnya berlakunya gejala-gelaja sosial seperti pergaulan bebas, bohsia, pembuangan bayi, lari dari rumah dan kes-kes jenayah.

Di samping itu, terdapat Usenet iaitu rangkaian berita yang berfungsi sejajar dengan internet. Dalam Usenet, terdapat pelbagai kumpulan berita (newsgroup) yang mengendalikan pelbgai topik perbincangan atau berita terkini. Para pengguna Usenet dapat memberi pandangan mereka melalui artikel atau surat elektronik, dan arkitel-artikel ini dikirim kepada bilangan yang ramai agar penerima dapat membaca dan memberi maklum balas kepada kumpulan berita tersebut.  Sebenarnya Newgroup ini senang ditubuhkan kerana banyak Newgroup yang kontroversi di jalinan siber. Kajian oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) turut mendapati terlalu banyak pengguna Internet, terutama kalangan remaja, membuang masa berjam-jam di kafe siber untuk bersembang menerusi laman perbualan berunsur lucah dan memberahikan.

Golongan remaja tidak memanfaatkan internet untuk mengumpul maklumat terkini dan penting. Sebaliknya, kebanyakan mereka gemar berkomunikasi melalui laman borak atau lebih dikenali sebagai chit-chatting dengan pengguna-pengguna internet dari seluruh dunia dengan menggunakan “Bahasa Ganjil”. Fenomena ini bertambah serius apabila golongan tersebut gemar berkomunikasi dengan cara menaip Bahasa Inggeris atau bahasa lain yang tidak tulen. Sebagai contoh, “Don’t know” ditaip sebagai “donno”.

Kolonialisme baru boleh berlaku terhadap masyarakat Malaysia melalui imperalisme budaya seperti mementingkan penggunaan bahasa dunia atau bahasa barat (seeprti bahasa Inggeris), pendidikan Barat, teknologi, gaya hidup ala-Barat, pandangan hidup mengikut perspektif Barat, dan sebagainya.

Imperialisme budaya juga menguasai aspek ekonomi. Antara bentuk penjajahan ialah penonjolan produk yang berjenama hebat. Di samping itu, cara hidup masyarakat Barat menjadi tiruan dan ikutan golongan muda di negara membangun. Imperialisme budaya Barat terhadap budaya masyarakat negara membangun menjadikan masyarakat negara membangun berasa rendah diri dan berada dalam dilema.

Penyebaran Bahan-bahan negatif

Tetapi, sebagai jaringan bebas yang berupaya menyelusup ke mana-mana sahaja tanpa sebarang batas dan sempadan, internet juga adalah kilang segala “sampah-sarap yang boleh meracuni minda pengguna, terutama para remaja. Ada sekian banyak laman-laman web yang mendedahkan bahan-bahan negatif termasuk propaganda mengenai fahaman-fahaman tertentu, penghinaan terhadap agama, unsur-unsur yang bercanggah dengan budaya kesopanan kita, dan berbagai-bagai bentuk kelucahan.

Malah, sejak kebelakangan ini internet telah digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah, khbar-khabar angin, gosip-gosip dan berita-berita palsu. Sesetengah bahan negatif yang disebarkan itu memang mendatangkan kesan buruk. Sebagai contoh, apabila ada khabar angin kononnya akan terjadi rusuhan di Chow Kit, orang ramai menjadi gempar dan menyerbu pasar raya untuk membeli makanan. Berita palsu yang dihebohkan itu amat berkesan untuk menimbulkan suasana kelam kabut dan mengelirukan masyarakat sehingga memaksa pihak polis bertindak pantas dengan menangkap dua orang yang disyaki terbabit dalam penyebaran berita berkenaan.

Pegawai Unicef, berkata begitu enjin pencarian internet yang berkaitan dengan seks seperti Google, berjaya mencatat 450,000 pengguna pada tahun ini. Bilik sembang IRC merupakan pintu masuk utama kepada pengguna mencari pornografi gadis.

Bentuk kolonialisme baru dunia

Globalisasi merupakan satu proses meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit. Sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber.  Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Kamus Dewan, “globalisasi” didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia semakin mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Perkembangan-perkembangan terbaru yang berlaku seperti globalisme, era teknologi maklumat, kapitalisme, dan liberalisme memberi kesan yang amat besar terhadap kemerdekaan. Kolonial baru dan tatacara baru dunia merupakan rancangan kuasa Barat untuk menakluki semual kebebasan yang telah dicapai oleh negara-negara membangun. Globalisasi telah meluaskan lagi pengaruh kolonialisme baru terhadap negara-negara membangun. Negara membangun yang masih lemah dari segi teknologi maklumat tidak dapat menyekat perkembangan teknologi maklumat yang mengancam kemerdekaan yang dicapai. Globalisasi merintis gelombang perubahan baru dunia yang mengukuhkan lagi asas ideologi tatacara percaturan baru dunia. Penjajahan bentuk baru, khususnya melalui internet terhadap negara membangun merupakan agenda politik yang mengancam kemerdekaan negara membangun.

Di samping itu, dengan runtuhnya beberapa ideologi politik dunia yang sangat berpengaruh seperti komunisme, dan sosialisme adalah dipercayai bahawa percaturan adalah dipercayai bahawa percaturan politik tatacara baru akan mengancam kemerdekaan negara-negara membangun. Usaha bagi membawa demokrasi ala-Barat menimbulkan masalah di negara membangun kerana keadaan politik dan sistem sosial di negara membangun adalah amat berbeza dengan negara-negara Barat.  

Makanan Segera Banyak Keburukan

Makanan proses atau lebih mudah dipanggil makanan segera kurang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap diambil, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan.

Tanpa disedari, ia akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah kerosakan gigi, sembelit, obesiti dan tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Apakah makanan proses atau manakan segera ini? Makanan proses atau segera adalah komponen makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya.

Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagi pun makanan segera begini cukup mudah untuk diperolehi . Kunjungi sahaja mana-mana restoran 'fast food', pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja.

Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.

Makanan segera banyak aditif
Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan. Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti, menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran. Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu. Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi.

Contoh lain aditif ialah bahan-bahan campuran yang diberi nama huruf awal "E", seperti E101 (Riboflavin), E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate), E249 (Kalium Nitrit), E322 (Lesitin) dan sebagainya. Selain itu, makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya, bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut. Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji, gula, jagung, tebu atau lobak bit. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh, serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walaupun demikian, kajian saintifik gagal membuktikan bahawa kesemua gangguan-gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kajian tersebut mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru itu MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan.

Lemak Berlebihan
Selain itu, makanan segera sangat terkenal dengan kandungan lemaknya yang berlebihan. Sebagai contoh, sebiji burger mengandungi sebanyak 35% atau mungkin lebih lemak. Manakala, kentang goreng dikatakan lebih baik dari segi khasiat daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu yang menggalakkan penyakit jantung di antara 11 dan 16 g lemak. Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemuisi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain. Lemak dan garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengannya.

Tiada Zat
Ramai yang tidak menyedari bahawa makanan segera hanya mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat. la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh. Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan. Kanak-kanak perlu dielakkan memakan makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap, air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori. Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka sahaja dan ini menyebabkan mereka menolak manakan berkhasiat lain.

Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:

Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.

Ayam goreng:
Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.

Kentang goreng:
Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.

Susu kocak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.

Minuman berasaskan Kola:
Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.

Garam
Secara purata seseorang itu memeriukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat
kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.

Serat
Serat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.

Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.

Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Dipetik daripada http://www.kkk.org.my