Antara ancaman yang dihadapi oleh pengguna teknologi maklumat ialah fenomena penggodam komputer atau 'hackers'. Penggodam komputer ditakrifkan sebagai orang yang boleh mendatangkan ancaman kepada komputer dan sistem rangkaian. Mereka cuba menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan mereka. Namun terdapat juga golongan penggodam komputer yang hanya menjalankan aktiviti pencerobohan maklumat peribadi atau serangan virus sebagai salah satu keseronokan dan hobi semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk yang dihadapi kelak. Mereka suka menceroboh sistem rangkaian komputer, mencuri maklumat atau data penting dan menghantar kod jahat atau virus bagi mengganggu sistem rangkaian komputer lain seterusnya menyebabkan kerosakan teruk.
Sesetengah penggodam komputer menceroboh sistem rangkaian komputer untuk meniru atau mencuri data. Ini terbukti kerana menurut satu laporan, terdapat seorang pelajar kolej di Texas telah dikenakan undang-undang setelah terlibat dalam aktiviti menggodam dengan menceroboh sistem komputer Texas untuk mencuri maklumat peribadi pelajar, fakulti dan kakitangan dari universiti berkenaan. Oleh itu benarlah teknologi maklumat internet menghadapi ancaman daripada pihak penggodam.
Selain itu, kelebihan teknologi maklumat kini juga telah diperalatkan dengan mudah oleh pengganas dan juga kartel dadah. Mereka telah menyalahgunakan kelebihan teknologi maklumat untuk menjalankan kegiatan gelap. Seperti yang kita ketahui, zaman maklumat semakin menghapuskan zaman perindustrian dan zaman pertanian manakala globalisasi pula menerobos ke setiap pelosok dunia, sedangkan sistem penapisan dan perlindungan keselamatan masih lumpuh sama sekali. Ini terbukti apabila seseorang pembekal dadah menggunakan sistem rangkaian internet untuk berurusan dengan pengedar dadah lain untuk mengadakan pertemuan melalui kod-kod rahsia. Jadi, keadaan ini sudah tentu tidak dapat dihalang oleh pihak berkuasa kerana mereka tidak dapat mengenalpasti tempat perjumpaan tersebut secara tepat. Justeru, keselamatan zaman maklumat masih lagi diragui lantaran wujudnya aktiviti-aktiviti tanpa sempadan ini yang boleh menggugat sistem keselamatan.
Di samping itu, teknologi maklumat kini telah dieksploit dengan begitu rakus bagi mencapai pelbagai tujuan. Teknologi ini telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai jenayah tradisional seperti memeras ugut, menipu, menyebarkan bahan lucah dan juga mencuri nombor kad kredit. Ini amat menyedihkan kerana teknologi maklunat yang dibangunkan bersama arus kemodenan boleh menggugat keselamatan para pengguna. Sebenarnya masyarakat kita semakin bergantung kepada komputer dan sistem rangkaian sebagaimana kita bergantung kepada keperluan asas iaitu bekalan air dan elektrik. Oleh yang demikian, semua pengguna hendaklah mempunyai kesedaran dan kefahaman yang mendalam tentang isu keselamatan dan keperluan untuk membangunkan perlindungan keselamatan. Maka terbukti bahawa ancaman teknologi maklumat ialah pengeksploitasian daripada pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.
Seterusnya teknologi maklumat juga terdedah kepada ancaman virus. Virus sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud racun. Bersesuaian dengan maksudnya, virus telah dicipta untuk melindungi fail-fail daripada dicerobohi. Namun kini virus telah disalahgunakan dengan tujuan untuk mengganggu sistem rangkaian komputer dan meniru hak ciptaan orang lain. Selain itu, virus juga dicipta untuk mengelakkan penjiplakan. Apabila virus menyerang komputer, kita dapat melihat saiz sesebuah fail itu bertambah besar, berlaku perubahan tarikh walaupun fail itu tidak digunakan dan komputer menjadi lambat beroperasi. Disket juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah cepat rosak atau tidak dapat dibaca langsung. Pengaturcaraan komputer juga tidak dapat berfungsi seperti biasa. Masalah ini sememangnya memberikan kesan buruk kepada para pengguna. Sebenarnya virus boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara jangkitan dan cara merosakkan sistem fail dalam sesebuah komputer. Virus jenis ‘Logic Bomb’ ini dipercayai mungkin berupa tarikh virus itu diaktifkan. Oleh itu terbuktilah bahawa teknologi maklumat juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman virus.
No comments:
Post a Comment