AGENDA BAHASA Kepentingan Bahasa Mandarin Oleh: MOK SOON SIM * soonsimmok@hotmail.com Sejak China mengamalkan dasar buka pintu dan melaksanakan reformasi ekonomi, negara tersebut telah mengalami perkembangan ekonomi yang menakjubkan. China kini muncul sebagai kuasa ekonomi keempat terbesar di dunia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China telah mencapai RM48 trilion ataupun 13 peratus daripada KDNK dunia. Sejajar dengan hal itu, pada akhir abad ke-20, keghairahan mempelajari bahasa Mandarin di seluruh dunia mula bertambah dan berterusan sehingga kini. Hari ini, bahasa Mandarin bukan sahaja merupakan bahasa yang dipelajari oleh kaum Cina, tetapi bahasa Mandarin menjadi bahasa asing utama yang mendapat sambutan dalam kalangan kaum-kaum lain di seluruh dunia. Selain daripada Benua Besar China, Hong Kong dan Taiwan, terdapat semakin banyak negara dan bangsa yang menggunakan bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama di peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Pada masa ini, terdapat hampir 100 juta orang di seluruh dunia yang mempelajari bahasa Mandarin setiap hari. Pemimpin-pemimpin di Malaysia yang berpandangan jauh menyarankan dan menggalakkan rakyat di negara ini agar mempelajari bahasa Mandarin yang kian popular di mata dunia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan bahawa bahasa Mandarin bukan lagi merupakan bahasa satu kaum sahaja, tetapi bahasa Mandarin merupakan bahasa satu bangsa serta negara yang maju dan mempunyai kekuatan ekonomi. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga menyeru kaum Melayu agar mempelajari bahasa Mandarin. Beliau menegaskan penguasaan bahasa dan pemahaman kebudayaan antara rakyat kedua-dua negara akan mengeratkan hubungan dua hala Malaysia dengan Negara China. Berdasarkan sejarah, pembelajaran bahasa kaum lain dalam kalangan masyarakat Malaysia telah lama wujud. Kaum Cina, kaum India dan kaum-kaum lain mempelajari bahasa Melayu, dan begitu juga sebaliknya. Pada akhir sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat kecenderungan ibu bapa kaum bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina SRJKC). Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, pada bulan Disember 2001, sebanyak 60 000 orang pelajar bukan Cina yang menuntut di SRJKC. Bilangan pelajar bukan Cina yang menuntut di SRJKC kian meningkat hingga ke hari ini. Pada peringkat pengajian tinggi pula, antara kesemua institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus bahasa Mandarin kepada penutur bukan asli di Malaysia, ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM). UiTM merupakan institusi pengajian tinggi yang mempunyai paling ramai pelajar bumiputera yang mempelajari bahasa Mandarin. UiTM mula menawarkan kursus bahasa Mandarin sebagai kursus elektif kepada pelajar semenjak tahun 1968. Pada tahun 1999, bahasa Mandarin ditawarkan sebagai salah satu kursus bahasa pilihan yang merupakan keperluan universiti. Semenjak itu, bilangan pelajar UiTM yang mempelajari bahasa Mandarin semakin bertambah. Kini terdapat lebih kurang 10,000 orang pelajar bumiputera yang mengikuti kursus bahasa Mandarin di semua kampus UiTM di seluruh Malaysia. Jumlah yang besar ini menunjukkan semakin ramai kaum bukan Cina menerima pembelajaran bahasa Mandarin sama ada di sekolah rendah ataupun di institusi pengajian tinggi. Hal ini membuktikan bahawa semakin banyak masyarakat Malaysia yang mula sedar akan keperluan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Kesedaran ini sejajar dengan dasar kerajaan yang menawarkan kelas bahasa tambahan termasuk kelas bahasa Mandarin, bahasa Arab dan bahasa Tamil di sekolah rendah kebangsaan serta mendirikan Sekolah Wawasan. Apakah kelebihan menguasai bahasa Mandarin? Bagi kaum bukan Cina, menguasai bahasa Mandarin sama seperti menguasai bahasa Inggeris ataupun bahasa-bahasa lain. Menguasai bahasa asing tidak akan melenyapkan ciri-ciri kaum yang asal, sebaliknya menguasai aneka bahasa dapat menambahkan kebolehan seseorang itu untuk berkomunikasi dengan bangsa lain. Hal ini secara tidak langsung mempertingkatkan daya saing seseorang individu untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit dalam era globalisasi kini... * Mok Soon Sim, pensyarah di Unit Bahasa Mandarin, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor. |
Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Bahasa Januari 2008 |
No comments:
Post a Comment