Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
2011/07/14
PENERBITAN Halal Journal diterbitkan dua bulan sekali dan boleh diakses secara online menerusi Halal Online.
Selain menceburi sektor pengiklanan, perhubungan awam mahupun menjadi wartawan, ramai juga lulusan bidang komunikasi bijak meneroka pelbagai cabang perniagaan berkaitan.Contohnya, Pengasas dan Pengarah Urusan KasehDia Sdn Bhd, Jumaatun Azmi, yang memanfaatkan pelbagai media untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu halal kepada umum yang pada masa sama menjadi sumber pendapatan baginya.
Kejayaan lulusan Ijazah Komunikasi Universiti Hartford, Amerika Syarikat itu dalam perniagaan berasaskan bidang komunikasi bermula dengan penerbitan siri Halal Guide pada 2003 yang mengandungi ulasan restoran berstatus halal di beberapa negara dan bandar utama dunia termasuk Australia, Kuala Lumpur, Singapura, London, Dubai, New Zealand serta Kanada.
“Idea menghasilkan siri Halal Guide ini tercetus apabila saya sendiri melalui pengalaman sukar mencari restoran makanan halal ketika bercuti di Australia dan mendapati tiada sebarang bahan bacaan atau panduan mengenai keperluan asas itu dijual di kedai buku.
“Sebaik kembali ke tanah air, saya mengusahakan penerbitan buku panduan itu bagi Australia, Kuala Lumpur, Singapura dan London. Apabila dipasarkan, ia mendapat publisiti Wall Street Journal sekali gus memudahkan usaha saya mendapatkan dana tambahan bagi menerbitkan lebih banyak siri panduan asas berkenaan termasuk Halal Food & Travel: Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman pada Forum Kerjaya Ketua Pegawai Eksekutif Muda Malaysia sempena Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran di Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya, baru-baru ini.
Momentum kejayaan penerbitan siri Halal Guide itu berterusan dengan penerbitan Halal Journal iaitu majalah berkaitan isu dan industri halal yang diterbitkan dua bulan sekali pada 2004 yang turut boleh diakses secara dalam talian menerusi Halal Online.
Kejayaan penerbitan siri panduan dan majalah halal itu menyuntik keyakinan Jumaatun untuk menganjurkan forum halal terbesar, World Halal Forum bermula 2006 yang mencatat rekod penyertaan lebih 900 delegasi daripada 50 negara.
Menyedari budaya membaca yang semakin kurang menjadi kecenderungan masyarakat negara ini, beliau mewujudkan pula bahagian filem, radio dan televisyen bagi menyalurkan maklumat halal kepada umum.
Selain bekerjasama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia bagi menyiarkan siaran Halal Journal Radio, maklumat sama disalurkan menerusi rancangan Halal Journal di TV3 dan NTV7.
“Sesuai misi syarikat ingin menyalurkan nilai baik menerusi idea komunikasi sejagat, saya cuba memanfaatkan sebanyak mungkin medium komunikasi bagi memastikan maklumat berkaitan isu halal dapat dicerna segenap lapisan masyarakat.
“Selain memanfaatkan kepakaran bidang komunikasi, kerjasama dijalin dengan pelbagai media cetak dan penyiaran untuk memudahkan usaha murni itu. Pendekatan saya mudah saja, jika kita mempunyai keinginan untuk mengetahui mengenai sesuatu isu, bermakna ada pihak lain yang turut berminat mengetahuinya dan itu disifatkan sebagai peluang perniagaan, sekali gus dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment