Tuesday, July 5, 2011

Penapisan Maklumat Siber yang sukar

Kini, kebanyakan kerajaan moden turut melaksanakan dasar mengawal dan menapis segala maklumat yang boleh dianggap boleh mendatangkan kesan buruk. Lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba canggih ini, muncul pelbagai perantaraan yang boleh menjadi ajen baru penyebaran maklumat. Antara yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu penyebaran maklumat melalui dunia siber atau internet. Walaupun kebanyakan kerajaan telah pun mempunyai dasar untuk mengawal maklumat yang boleh merugikan, namun kawalan maklumat dalam dunia siber masih sukar untuk dilaksanakan.

Oleh sebab itu, penapisan terhadap internet bukanlah suatu yang mudah memandangkan pertumbuhan bilangan pengguna yang menyertai industri ini setiap hari.  Penggunaan internet yang pada mulanya hanyalah untuk strategi ketenteraan, kini telah berkembang sebagai satu rangkaian yang boleh digunakan untuk pelbagai keperluan dan telah dihubungkan dengan lebih tiga juta buah komputer di seluruh dunia. Jika penggunaan internet masa dahulu adalah terhad dan serius, namun kini berlaku sebaliknya kerana internet boleh disifatkan sebagai satu hiburan baru.

Walaupun komunikasi seumpama ini kini fenomena yang biasa, tetapi disebabkan ketiadaan lokasi fizikal menyukarkan pihak berkuasa menjalankan dakwaan terhadap pencabulan yang berlaku. Selain itu, identiti seseorang seperti nama, usia, jantina juga sukar dikesan kerana ‘ketiadaan nama’ dalam penggunaan internet. Sedangkan penyebaran bahan-bahan lucah atau bahan-bahan yang diharamkan dalam perbualan, ataupun bahan-bahan yang sensitif sehingga boleh menimbulkan suasana tidak tenteram sangat mudah dilakukan melalui medium ini.

Selain itu, internet juga tidak mempunyai badan-badan penapis yang rasmi, tiada lembaga pengarah, tidak dimiliki oleh ekuiti tertentu. Medium ini terbuka luas untuk diterokai oleh sesiapa sahaja. Dalam hal ini penapis utamanya adalah hati nurani pengguna itu sendiri.

Memandangkan internet tidak mempunyai “autoriti pusat” sebab itu sukar untuk merealisasikan usaha penapisan internet. Dalam perspektif yang lain pula, internet kononnya memberi potensi kepada “demokrasi sebenar”.

Kebebasan bersuara di rangkaian internet juga bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa. Negara China sebagai contohnya, cuba mengawal setiap ekspresi politik atas sebab keselamatan negara dan ketenteraman sosio masyarakat. Setiap pengguna lebuh raya internet dan e-mel mesti mendaftarkan diri kepada pihak berkuasa agar pihak berkuasa dapat mengawas aktiviti-aktiviti para pengguna internet. Manakala di United Kingdom pula, artikel-artikel sensasi mengenai rahsia kerajaan atau serangan peribadi adalah antara batasan dan isu sensasi untuk dibincangkan, diterbitkan, dan dipaparkan.
Nampaknya pihak-pihak berkuasa di dunia berusaha menguatkuasakan penapisan terhadap penggunaan internet ini. Bagaimanapun pihak-pihak berkuasa nyata menghadapi pelbagai masalah dan rintangan yang kompleks terutama untuk menyemak bahan dalam sistem yang luas tanpa sempadan itu. Adalah hampir mustahil bagi pihak berkuasa menyemak setiap surat elektronik yang dihantar atau diterima, meneliti setiap artikel yang disediakan oleh setiap Newsgroups, mengklasifikasikan setiap webpages, dan berborak dalam setiap rangkaian IRC, kemudiannya melawat setiap tapak Gopher, ataupun mengawal setiap program FPT. Selain menelan belanja yang banyak, pekerjaan ini dianggap membuang masa.
Walaupun usaha-usaha telah diambil untuk menapis medium ini, tetapi nampaknya usaha tersebut masih menemui jalan buntu apabila tiada undang-undang berkaitan yang boleh mendakwa pihak yang menyalahgunakan medium ini. Tambahan pula, undang-undang komunikasi antara satu negara dengan negara adalah berbeza. Di samping itu undang-undang sesebuah negara tidak dapat diaplikasikan di negara lain kerana masing-masing mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati. Oleh sebab itu, internet dianggap sebagai salah satu media penyebaran baru yang unik, dan berkesan walaupun kedudukannya sebagai media masih dalam perdebatan.

Internet adalah rangkaian antarabangsa. Justeru, seseorang dengan mudah boleh menyalin dokumen-dokumen, gambar-gambar lucah dari negara lain walaupun gambar yang disalin itu diharamkan di negara mereka. Dalam situasi begini timbul perdebatan di manakah pendakwaan akan dilakukan. Di negara asal artikel atau gambar lucah tersebut atau di tempat gambar atau artikel tersebut disalin dan diterima?

Bahan-bahan yang menyakitkan mata ini bagaikan zarah-zarah yang melantun di dunia galaksi siber. Namun tiada siapa yang tahu ke mana zarah –zarah tersebut akan bergerak. Oleh yang demikian, tanpa satu badan penapis dan penguatkuasa pusat, maklumat-maklumat seperti itu akan terus bergerak lancar tanpa halangan untuk mencari mangsa dalam lebuh raya siber.

Seperti yang disebut sebelum ini, internet adalah satu alam nyata yang penuh misteri. Adalah sukar untuk mengidentifikasikan umur, jantina, raut rupa, ketinggian, berat badan, dan lain-lain bentuk fizikal penggunanya. Jadi sukar untuk mengesan bahawa seseorang itu telah melawat tapak haram, atau menyalahgunakan hak menyelongkar sesuatu maklumat. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang memalsukan identiti tapak lucah di internet walaupun telah diberi amaran.

No comments:

Post a Comment